Awas angin kencang laut bergelora
PASIR PUTEH, 12 Februari – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kelantan amat menitikberatkan soal keselamatan bagi komuniti maritim, penggemar aktiviti laut dan masyarakat pesisir pantai.
Sehubungan itu, komuniti maritim, penggemar aktiviti laut dan masyarakat pesisir pantai dinasihatkan untuk menangguhkan sebarang aktiviti pesisir pantai dan laut sehingga angin kencang dan laut bergelora yang diramalkan berlaku sehingga berakhir hari ini.
Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie bin Yaacob berkata, amaran angin kencang dan laut bergelora ini telah dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sejak 8 Februari lepas yang mana kekuatan angin dianggarkan mencecah 50 hingga 60 kilometer sejam (km/j) manakala ketinggian ombak pula dianggarkan mencecah 3.5 hingga 4.5 meter.
Tempoh angin kencang dan laut bergelora juga mungkin berlarutan kerana sepertimana yang kita sedia maklum, lazimnya Monsun Timur Laut akan berakhir pada Mac. Walaubagaimanapun, lihat kepada ramalan kaji cuaca yang dikeluarkan oleh MetMalaysia
“Kita ada aset di laut hari ini bagi melihat situasi sebenar. Anggota yang membuat tinjauan mendapati ketinggian ombak boleh mencecah sehingga lima meter pada masa tertentu dan ini melebihi paras anggaran yang dikeluarkan. Melihat kepada situasi sebegini, ia sudah tentu akan meningkatkan risiko untuk sebarang kejadian yang tidak diingini,” jelas beliau.
“Walaubagaimanapun, sekiranya ada keperluan yang mendesak untuk melaksanakan sebarang aktiviti di laut, anda perlu mengambil langkah-langkah keselamatan seperti melaporkan kepada pihak Maritim Malaysia berkenaan pelayaran, membawa dan memakai life jacket, pastikan alat perhubungan seperti telefon bimbit atau alat komunikasi radio dibawa dan jangan lupa juga agar memastikan pengangkutan laut yang digunakan dalam keadaan yang terbaik.
Tambah beliau, walaupun ada di antara individu yang sudah berpengalaman berbelas malahan berpuluh tahun dengan situasi di laut, individu berkenaan seharusnya sudah tahu menilai keadaan apatah lagi sekiranya ia melibatkan nyawa. Di pihak Maritim Malaysia, kita sentiasa bersedia dari segi aset dan keanggotaan bagi menghadapi sebarang kejadian kecemasan di laut.
Masyarakat umum dan komuniti maritim diingatkan segera melaporkan sebarang kecemasan di laut bagi negeri Kelantan khususnya di talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Kelantan di talian 09-778 0070.
Comments
Post a Comment