VIC bersama rakan strategik bantu warga emas
PROGRAM gotong-royong membersihkan rumah seorang warga emas berusia 63 tahun yang tinggal berseorangan di Kampung Padang Pak Amat, Pasir Puteh, Kelantan, selesai dilaksanakan kelmarin dengan semangat sukarelawan dalam meringankan bebanan pihak yang memerlukan bantuan.
Sekitar dalam rumah dan persekitaran rumah lelaki tua yang turut menghidapi masalah kesihatan itu, kini kemas hasil pemuafakatan beberapa pihak menjalankan aktiviti amal yang diterajui Kelab Volenteer I Care (VIC).
Antara yang tampil bergabung tenaga membersih lantai rumah, mengemas dan membasuh pinggan mangkuk di ruang dapur rumah itu ialah
anggota Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Bomba Sukarela Pasir Puteh, Econsave Pasir Puteh dan Prolife Medic Ambulance Kota Bharu.
"Program yang melibatkan 30 orang berjaya mencuci segenap ruang yang ada bagi memberi keselesaan terutamanya kepada bapa ini yang hampir sepanjang waktu berada dalam rumah atas faktor kesihatan dan pergerakan yang amat terbatas.
"Jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung bagi melancarkan gotong-Royong ini. Hanya Allah yang mampu membalas segala keringat tenaga yang anda hulurkan," ujar Pengerusi VIC, Muhammad Afiq Aiman Sukry.
Menurutnya, kerja-kerja kemanusiaan seperti itu akan terus dilaksanakan tanpa henti dengan sokongan semua pihak.
" Semoga Allah melapangkan rezeki dan kehidupan kalian yang sentiasa prihatin membantu golongan yang amat memerlukan. Sumbangan ikhlas tidak hanya berkisar dalam bentuk material tetapi mencakupi tenaga, idea dan pemuafakatan yang kental," katanya.
Yang hadir sama, pengurus Econsave Pasir Puteh, Toh Sharin.
Econsave Pasir Puteh turut menyampaikan barangan keperluan makanan kepada warga emas berkenaan.
@toreksulong.blogspot.com
Comments
Post a Comment