KISAH TUKANG SAPU DI KOTA MEKAH
Jam 9.25 malam waktu Arab Saudi, saya bertenggek di beberapa dataran Mekah. Panoramanya masih meriah dengan pelbagai ragam manusia dari seluruh pelusuk dunia.
Ketemu seorang tukang sapu dari Filipina yang pernah sembilan tahun bekerja di Malaysia. Di tanah haram ini dia bekerja sebagai tukang sapu yang memastikan beberapa kawasan di jabal Omar sentiasa bersih.
Mengutip bekas makanan dan minuman yang ditinggalkan termasuk putung rokok yang dibuang di tepi bangunan sebagai tugasan bagi mendapatkan rezeki yang halal.
Pekerja Muslim ini walaupun bekerja sebagai tukang sapu, dia sebenarnya seorang insan yang berhati mulia mengutip ganjaran pahala dengan membantu jemaah yang tersesat untuk kembali ke hotel masing-masing.
Tanpa mengharapkan ganjaran upah dan sedekah dia sentiasa ringan tulang membantu menghubungi pengurusan hotel untuk menjemput jemaah yang gagal pulang ke penginapan masing-masing.
"Bantu kerana Allah SWT, ikhlas menolong dan yakin Allah akan melebarkan rezeki," katanya.
Lelaki ini boleh berkomunikasi dalam empat bahasa iaitu Melayu, Bahasa Inggeris, Arab dan bahasa ibundanya, Tagalog dengan fasih.
Ditanya kenapa memilih meninggalkan pekerjaan di Malaysia, dia menjawab, di Mekah rezekinya dilapangkan Allah. Jiwanya tenang dan pendapatannya amat mencukupi untuk menampung dirinya di perantauan dan selebihnya dihantar untuk perbelanjaan anak isteri di kampung halaman.
"Di sini nilai Rialnya tinggi berbanding nilai ringgit Malaysia. Syukur kerana Allah memberi ruang kepada saya untuk bekerja di tanah suci yang turut mententeramkan jiwa Muslimnya.
" Bukan Rial yang saya dapat tetapi ganjaran pahala malah dalam tempoh yang singkat saya sudah sembilan kali umrah dan melaksanakan Rukun Islam yakni ibadah Haji," katanya.
Lelaki itu berkata, disiplin solat warga kota Mekah termasuk pengunjung yang menjadi tetamu Allah SWT amat membanggakan.
" Proses jual beli dan pekerjaan ditinggalkan pada semua tempoh solat waktu. Tukang sapu akan meninggalkan penyapu, tukang masak akan meninggalkan dapurnya, pekerja meninggalkan kantor masing-masing untuk menyempurnakan fardu yang wajib.
" Warga kota Mekah pasrah dan bersujud mengikut awal waktu tanpa melengah-lengahkannya tanpa mengira usia tua atau muda,"katanya.
@toreksulong.blogspot.com
dari Tanah Suci Makkah.
Comments
Post a Comment