PELAYARAN IHSAN MARITIM MALAYSIA



SEORANG  warga emas dan seorang bayi telah diberi bantuan pelayaran ihsan Maritim Malaysia Negeri Kelantan bagi mendapatkan rawatan segera  di Klinik Kesihatan Besut, Terengganu, semalam.


Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan dari Klinik Kesihatan Besut pada pukul 3.30 petang semalam yang meminta bantuan memindahkan kedua pesakit tersebut.

 

Che Omar  Che Mat, 70 tahun, mengalami kesukaran untuk bernafas disebabkan penyakit asma dan memerlukan bantuan alat pernafasan oksigen. Manakala Nor Ayra Aidelia  Mohd Khairul Azwan yang berumur setahun lima bulan mengalami demam panas. 


Menurutnya, pihak Klinik Kesihatan Pulau Perhentian berjaya menstabilkan kedua pesakit namun perlu dihantar ke klinik atau hospital untuk rawatan lanjut segera.


”Memandangkan pesakit perlu menerima rawatan segera dan teksi air agak sukar untuk beroperasi kerana keadaan laut yang bergelora pada ketinggian 2.5 hingga 3.5 meter, kami segera menggerakkan Bot Maritim Penyelamat 7 (Penyelamat 7) yang diketuai oleh Leftenan Madya Maritim Faris Mohd Sidek  untuk memastikan pesakit segera menerima rawatan yang lebih baik.


”Bot Maritim Penyelamat 7 tiba di Jeti Maritim Malaysia Negeri Kelantan pada pukul 6.25 petang. Pesakit warga emas ditemani oleh isteri beliau, Bidah Samad manakala bayi tersebut ditemani oleh ayahnya, Mohd Khairul Azwan sebelum dikejarkan ke Klinik Kesihatan Besut sebelum dirujuk ke Hospital Jerteh,” katanya.


”Kita mendokong penuh arahan Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Dato’ Mohd Zubil bin Mat Som bagi memperhebatkan pengoperasian dan memperkukuh hubungan Maritim Malaysia melalui kerjasama dengan agensi lain. 

"Dengan itu, kita berjaya memberikan respon pantas seawal 30 minit terhadap panggilan kecemasan seterusnya memberikan bantuan kepada pihak klinik. Saya percaya, aset dan anggota kita dapat bertindak dengan lebih pantas sekiranya semua aset berada dalam keadaan baik dan tidak mengalami kerosakan,” tambahnya lagi.


Sehingga semalam, katanya, pihak Maritim Malaysia Negeri Kelantan telah melaksanakan sebanyak enam bantuan pemindahan pesakit (medevac) dari Pulau Perhentian.


"Sebagai persediaan menghadapi musim banjir, masyarakat umum dan komuniti laut diingatkan agar sentiasa membawa dan menggunakan personal floatation device (PFD) seperti jaket keselamatan semasa berada di laut dan  melaporkan sebarang kecemasan di laut bagi negeri Kelantan khususnya di talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Kelantan di talian 09-778 0070, "katanya. 





Comments

Popular posts from this blog

Lembu Makan Plastik

JOM TO SCHOOL BSN

ELAK BERKELAH DI JERAM PASU