MAMPUKAH ETAK SALAI TEMBUSI PASARAN DUNIA?
MAMPUKAH etak salai Kelantan dipatenkan. Mampukah juga keunikan makanan tradisional ini menembusi pasaran antarabangsa. Atau sekadar laris dijual di pinggiran jalan?
UNIVERSITI Malaysia Kelantan (UMK) suatu ketika dahulu pernah berusaha mendaftar etak salai sebagai makanan warisan Kelantan yang bakal membantu meningkatkan produktiviti komersial makanan tradisional di negeri ini.
Naib Canselor UMK, Prof. Dr. Noor Azizi Ismail berkata, keputusan itu dicapai menerusi mesyuarat yang melibatkan usahawan, peniaga, pembekal dan pencari etak bersama agensi kerajaan dalam pertemuan khas sempena karnival etak salai yang diadakan di UMK.
Menurutnya, hasil penyelidikan Transdisiplinary Research Grant Skim (TGRS) yang melibatkan sepasukan penyelidik UMK yakin proses mempamerkan etak salai akan memberi impak keuntungan kepada generasi pengusaha makanan warisan itu dalam merentasi kemajuan zaman.
"Ia akan membantu meningkatkan produktiviti etak, memelihara, memulihara habitat selain mengangkat etak salai sebagai makanan warisan di peringkat negeri, negara dan antarabangsa.
" Saya pasti dengan kerjasama Jabatan Warisan Negara, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Jabatan Kesihatan dan lain-lain, proses mendokumentasikan etak salai sebagai makanan warisan tradisi rakyat negeri ini berjaya direalisasikan," katanya.
Noor Azizi berkata, menerusi karnival ini ianya turut memberi penjelasan yang bertuntaskan nilai akademik dan ilmiah berkaitan potensi dan prospek perniagaan makanan tradisional itu.
Menurutnya, inisiatif ini turut menterjemahkan perspektif etak salai Kelantan sebagai salah satu produk pelancongan negara dan memberi impak kepada Tahun Melawat Kelantan 2020.
"Berdasarkan kajian makan tradisi ini bermula sejak 1960an dalam kalangan penduduk pinggir Sungai Kelantan dan kini menjadi perniagaan warisan dengan pelbagai perisa dan resipi.
"Kejayaan pasukan penyelidik UMK yang menerbitkan jurnal penyelidikan dan graduan ijazah tinggi berkisar etak salai adalah yang julung kali diadakan di peringkat negara dan dunia,” katanya.
Penyelidikan etak salai dalam skop globalisasi ini dilaksanakan sejak tahun 2016 dan berakhir pada November tahun ini yang membabitkan tenaga penyelidik dari Fakulti Teknologi Kreatif dan Seni Warisan, Fakulti Sains Bumi, Fakulti Industri Asas Tani dan Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan UMK.
@toreksulong.blogspot.com
Comments
Post a Comment