TIGA BOT DAN 45 NELAYAN ASING DITAHAN
Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Maritim Muhd Nur Syam Asnawie Yaacob berkata, Kapal Maritim (KM) Jujur yang diketuai Pemangku Pegawai Memerintah Leftenan Maritim Mohd. Rahim Razali berjaya menahan bot pertama dan kedua pada pukul 4.34 petang dan 11.22 malam.
Manakala bot ketiga berjaya ditahan pada pukul 12.28 tengah malam hari berikutnya.
Menurutnya, bot pertama ditahan di lokasi 265 kilometer, bot kedua di lokasi 269 kilometer dan bot ketiga di lokasi 261 dari Kuala Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan.
"Pemeriksaan mendapati bot pertama yang ditahan itu mempunyai 14 orang awak-awak termasuk tekong berumur di antara 16 hingga48 tahun.
" Bot kedua bersama 16 awak-awak termasuk tekong berusia di antara 15 hingga 53 tahun. Manakala bot ketiga bersama 15 awak-awak termasuk tekong berusia 17 hingga 43 tahun," katanya dalam sidang media di Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan, hari ini.
Muhd Nur Syam Asnawie berkata, KM Jujur menghadapi kesulitan semasa menahan bot ketiga apabila seorang awak nelayan asing yang dipercayai sedang mabuk bertindak melawan anggota Maritim Malaysia.
"Walau bagaimanapun, awak nelayan terbabit berjaya ditenangkan. Keadaan laut yang bergelora semasa membawa masuk tahan memaksa pihak berkuasa menggunakan masa yang panjang untuk tiba di pangkalan operasi di Tok Bali.
" Bot pertama yang ditahan memiliki ikan campur seberat 2000 kilogram bersama 1000 kilogram ikan baja. Bot kedua (2500 kg) ikan campur bersama 1000 kg ikan baja dan bot ketiga memiliki 1000 kg ikan campur dan 1000 kg ikan baja. Jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM3 juta,"ujarnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan tanpa kebenaran yang sah di perairan negara.
Operasi Maritim Malaysia Kelantan akan tetap diteruskan walau dalam musim laut bergelora sepanjang Monson Timur Laut.
Comments
Post a Comment